23 January 2012

Sabar dan Redha atas musibah

MUSIM banjir datang lagi. Begitulah setiap hujung dan awal tahun tiupan angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat sehingga menyebabkan beberapa negeri dilanda banjir.

Alhamdulillah, bencana alam seperti banjir tidaklah seteruk sebagaimana saudara kita di negara lain. Apapun situasi yang melanda, sebagai hamba Allah kita harus tabah dan bersabar.

Mungkin sesetengah golongan yang bergantung kepada sumber marin di laut sebagai mata pencarian keluarga, pasti waktu ini mereka berhadapan situasi sukar dan getir.

Bagaimanapun, sebagai hamba Allah kita perlu sentiasa reda dan berdoa supaya Allah bukakan jalan baru sebagai menggantikan pintu rezeki yang ‘tertutup’ buat sementara waktu.


Allah meminta hamba-Nya tingkatkan kesabaran dalam seluruh dimensi kehidupan termasuk menempuh musim tengkujuh yang begitu merimaskan dan getir bagi sesetengah golongan.


Allah berfirman yang bermaksud: “Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka.” (Surah Al-Ahqaaf ayat 35).

Golongan paling terasa tempias musim tengkujuh seperti nelayan perlu banyak bersabar dan elak mengeluh atas kesempitan yang dihadapi.

Yang penting, gunakan ruang masa dengan aktiviti pencarian sumber rezeki lain.
Lakukanlah apa sahaja pekerjaan gantian yang bersesuaian selagi ia halal di sisi agama.

Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Berkemahuan keraslah terhadap apa yang mendatangkan manfaat padamu, mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah lemah semangat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Sebab itu Rasulullah berpesan kepada kita supaya menanam sikap optimistik dalam melakukan apa saja pekerjaan. Ia diakui beberapa tokoh barat yang memperakukan sikap yang menentukan seseorang itu mampu melakukan sesuatu yang terbaik.

Bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill berkata: “Orang yang pesimis melihat kesukaran dalam setiap peluang, orang yang optimis melihat peluang dalam setiap kesukaran.” Manakala Tony Jeary iaitu penulis buku ‘Success Acceleration’ mengulas hal yang sama.

Beliau berkata, “Bersikap optimis dan positif bukan hanya tindakan, suatu gimik atau formula ajaib yang perlu dilaksanakan apabila perlu. Sebaliknya ia mesti dibangunkan dan diamalkan sehingga ia menjadi kebiasaan”.

Selain berfikiran positif menghadapi masa-masa sukar, kita sewajarnya tidak lupa memohon pertolongan Allah segala kesulitan yang sedang dihadapi supaya dipermudahkan urusan mencari rezeki.

Jangan disebabkan dalam kerumitan hidup menyebabkan kita buruk sangka terhadap takdir Allah dan malas untuk berdoa. Rasulullah s.a.w menganggap orang yang enggan berdoa itu adalah insan yang paling lemah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Manusia paling lemah adalah orang yang tidak mampu memanfaatkan doa.” (Hadis riwayat at-Tabrani).

“Doa adalah musuh segala bencana. Doa dapat menolak malah dapat menghilangkannya.”

Sekurang-kurangnya, doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Lebih baik kita diuji sewaktu hidup di atas muka bumi ini, berbanding ujian di akhirat kerana seberat manapun ujian di dunia, ia akan berakhir, akan tetapi jika diuji dengan kesusahan di akhirat, ia terlalu dahsyat untuk ditanggung.”

Itulah kata-kata motivasi buat manusia akhir zaman supaya tabah dan bersedia menghadapi dugaan yang melanda.

Mereka yang reda dengan sebarang ketentuan Allah akan memutikkan kesabaran yang tinggi dan tidak bimbang dan gusar dengan kemungkinan yang bakal mereka hadapi.

Mereka yakin akan memberi kemudahan dan pertolongan kepadanya. Dalam apa juga situasi yang kita tempuhi, jangan sampai terkeluar dari mulut kata-kata keluhan.

Teruskan menjalani kehidupan dengan melakukan transformasi mengikut keadaan supaya rezeki sentiasa dicurahkan Allah.

Janganlah pula sudah tertutup satu pintu rezeki, kita berputus asa dan kecewa.
Berdoalah agar Allah memberi kita jalan keluar tatkala hidup terasa menghimpit

0 comments:

Post a Comment