15 January 2012

RM100 habuan sambut mercun

PADANG BESAR: Upah RM100 untuk lambung. Itu habuan beberapa peniaga bunga api dan mercun di Padang Besar, Thailand, dekat sini, kepada peniaga tempatan yang bersedia membantu menyeludup bahan terlarang itu masuk ke Malaysia.
Mereka yang berminat diberi upah membawa kotak mercun ke pagar sempadan sebelum melambungnya melepasi pagar sempadan untuk disambut wakil pembeli yang membuat pesanan di Malaysia.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, aktiviti penyeludupan cara berkenaan didapati semakin menjadi-jadi menjelang Tahun Baru Cina yang disambut minggu depan.
“Taktik itu dikesan UPP selepas menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan pusat transit bahan letupan berkenaan sebelum diedarkan ke beberapa lokasi,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan jam 7.45 malam Rabu lalu, UPP merampas 60 kotak mercun pelbagai jenis yang dipercayai diseludup menggunakan taktik ‘lambung’ melepasi pagar sempadan di Kampung Melayu, di sini.

Katanya, mercun bernilai hampir RM60,000 itu ditemui di dalam sebuah stor di sebuah rumah di Kampung Kok Mak, di sini, sebelum menahan seorang lelaki berusia 22 tahun.
“Lelaki berkenaan mengaku menyeludup semua bahan letupan berkenaan dari Thailand dan membawanya melalui pintu pagar sempadan dengan bantuan peniaga negara jiran itu.

“Dua pikap digunakan bagi membawa 60 kotak mercun berkenaan ke rumah lelaki terbabit selepas kotak mercun berkenaan dilempar melalui pagar sempadan,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa perlu membayar upah RM100 bagi setiap kotak yang dilempar ke negara ini.

Semua mercun berkenaan dirampas dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000.

0 comments:

Post a Comment