26 January 2012

Ribut ‘sedut’ bangunan sekolah

IPOH: “Saya mungkin buta jika serpihan kayu dan batu siling itu menikam ke mata kiri saya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih terselamat dan hanya cedera ringan,” kata murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) al-Ansari Ulu Chemor, Ubaidilah Mohd Zamri, 12, yang terselamat dalam kejadian ribut taufan petang Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, bangunan sekolah yang menempatkan 39 pelajar tahfiz terbabit seolah-olah ‘disedut’ ke udara sebelum ranap menyembah bumi. Mangsa berkata, kejadian ribut dan hujan lebat itu berlaku ketika semua pelajar berehat dan menunggu masa untuk menunaikan sembahyang Maghrib.

“Ketika itu saya bersama pelajar lain berada di ruang rehat sekolah untuk bersembahyang kerana ruang solat basah terkena tempias hujan lebat.

“Ustazah mengarahkan saya melaungkan azan. Ketika itu ribut menggoncang bangunan sekolah sebelum siling jatuh menimpa kami,” katanya.

Menurutnya, serpihan siling dan batu itu melayang mengenai mukanya menyebabkan dia menahan sakit sambil mencari tempat berlindung.

“Kami kelam-kabut lari menyelamatkan diri apabila sebatang pokok kelapa tumbang dan menimpa pula bangunan sekolah serta empat rumah berhampiran.


“Saya yang berada di bawah runtuhan itu, bagaimanapun amat bernasib baik kerana tidak ditimpa batang pokok kepala itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment