15 January 2012

Real lapan mata di depan

MADRID: Jose Callejon meledak gol kemenangan pada lewat permainan untuk Real Madrid ketika anak buah Jose Mourinho bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menewaskan Mallorca 2-1 dan melebarkan penguasaan La Liga kepada lapan mata di depan pencabar terdekat, Barcelona.

Kemenangan itu menambah tekanan buat penyandang juara, Barcelona yang turun menentang Real Betis di laman sendiri, awal pagi tadi.
Pemain kebangsaan Israel, Tomer Hemed meletak Mallorca di depan pada babak pertama dan ia tampak seperti bakal berlaku kejutan tetapi kemasukan Gonzalo Higuain yang meledak gol penyamaan pada minit ke-71, kembali memberi Madrid harapan.
Callejon kemudian menjelmakan kemenangan lapan minit sebelum tamat.

“Mereka bertahan baik, tidak melakukan kesilapan dan tahu bagaimana kami akan melakukan serangan,” kata Mourinho.

“Mereka bermain dengan baik terutama pada babak pertama. Kami perlu mengambil risiko di babak kedua untuk mencari kemenangan. Saya mengeluarkan Marcelo kerana mahu meletak hanya tiga pertahanan.

“Saya letak Fabio Coentrao dengan Pepe dan Sergio Ramos kerana mereka cukup pantas untuk bertahan hanya dengan tiga orang.”
Kemenangan itu cukup penting buat Madrid dalam merampas kembali kejuaraan yang digenggam Barcelona selama tiga musim berturut-turut.

Valencia di tangga ketiga dengan 12 mata di belakang, selepas tewas 1-0 di laman sendiri kepada Real Sociedad pada perlawanan yang menyaksikan pemain sayap Perancis, Antoine Griezmann meledak gol tunggal pada minit ke-55.

Pasukan tangga keenam, Sevilla diejek penyokong sendiri selepas seri tanpa jaringan dengan Espanyol, yang mengekang Barcelona 1-1 hujung minggu lalu, sekali gus hampir meranapkan peluang ke Liga Juara-Juara Eropah. – AFP

0 comments:

Post a Comment