26 January 2012

Reaksi sekatan minyak EU

TEHERAN 26 Jan. - Parlimen Iran dijangka menimbang satu rang undang-undang untuk mengharamkan eksport minyak ke Eropah minggu depan, selepas Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan minyak ke atas negara ini, kata laporan media hari ini.

Jurucakap Suruhanjaya Tenaga Parlimen, Emad Hosseini berkata, suruhanjaya itu sedang melengkapkan cadangan rang undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, cadangan itu dijangka dibentangkan apabila Parlimen bersidang pada Ahad ini.

"Jika rang undang-undang ini diluluskan, kerajaan terpaksa menghentikan penjualan minyak ke Eropah sebelum pelaksanaan sekatan minyak tersebut,'' katanya.

EU pada awal minggu ini mengenakan sekatan minyak terbaru ke atas eksport minyak Iran ketika Barat meningkatkan tekanan ke atas Teheran berhubung program nuklearnya dan menggesa Iran kembali ke meja rundingan.

Iran yang telah dikenakan pelbagai sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali menafikan program nuklearnya yang didakwa menyembunyikan usaha untuk membina senjata nuklear.

Seorang lagi anggota suruhanjaya itu, Hassan Gharourifard berkata, rang undang-undang itu akan memaksa kerajaan menghentikan jualan minyak ke Eropah sebelum sekatan EU dikuatkuasakan.

EU yang merupakan pasaran utama minyak Iran, mengimport kira-kira 600,000 tong minyak sehari pada 10 bulan pertama tahun lepas selain India dan China.

Bagaimanapun, China dan India enggan tunduk kepada tekanan dari Washington untuk turut menyekat sumber pendapatan minyak Iran. - AFP

0 comments:

Post a Comment