28 January 2012

Ray Kelly mohon maaf isu video hina Islam


NEW YORK 28 Jan. - Ketua polis New York, Ray Kelly (gambar)semalam memohon maaf di atas penyiaran berulang kali video mengenai Islam yang disifatkannya 'menghasut' dan telah ditonton oleh beratus-ratus pegawai polis di pusat latihan.
Rakaman berjudul The Third Jihad itu memaparkan wawancara bersama pesuruhjaya polis tersebut yang menggambarkan ancaman kepada Amerika Syarikat (AS) berpunca daripada radikal Islam.

Ekoran kecaman hebat yang diterima daripada masyarakat Islam New York, Kelly menyatakan beliau bersimpati.
"Saya telah melihatnya buat pertama kali Selasa lalu. Saya rasa ia adalah video yang 'bersifat menghasut'," katanya yang disiarkan di televisyen New York.

Kelly ditemu bual pada 2007 untuk rakaman video itu, tetapi menyatakan beliau tidak tahu ia akan diubah menjadi sesuatu yang amat kontroversi atau diperlihatkan kepada kira-kira 1,500 pegawai polis ketika latihan.

Rakaman video itu ditayangkan secara berterusan di bilik rehat pegawai polis ketika latihan dan ia bukan sebahagian daripada pembelajaran utama.

"Saya tidak fikir terdapat sesuatu yang amat menyakitkan dalam video itu, tetapi ia tidak sepatutnya ditayangkan," ujarnya. - AFP

0 comments:

Post a Comment