15 January 2012

Ratu Amerika format realiti TV

LAS VEGAS: Ratu cantik Wisconsin, Laura Kaeppeler, dinobatkan sebagai Ratu Amerika Syarikat 2012 kelmarin dalam pertandingan yang dikemaskini dengan format realiti televisyen, termasuk undian ‘selamat’ seorang peserta dan penyingkiran yang lain.

Kaeppeler menang dalam pertandingan yang disiarkan selama dua jam dengan menunjukkan bakat menyanyi opera, gaya berjalan memakai bikini di atas pentas dan mengagumkan penonton dalam gaun kembang hitam yang dibandingkan dengan gaun pengantin Duchess of Cambridge, Kate Middleton.
Bagaimanapun, saat penting tiba dengan soalan akhir apabila dia diminta membincangkan arena politik terkini di Washington.
“Ratu Amerika mewakili semua rakyat dan dalam kesukaran ekonomi, ahli politik perlu melihat apa yang diperlukan penduduk,” katanya ketika menjawab soalan.

Dia menangis ketika mahkota diletakkan di atas kepala dan Kaeppeler mengucapkan ‘terima kasih, terima kasih banyak-banyak’ kepada penonton ketika peserta lain mengelilinginya.

Tempat kedua disandang Ratu Oklahoma, Betty Thompson, diikuti Ratu New York, Kaitlin Monte, manakala Ratu Arizona, Jennifer Sedler dan Ratu California, Noelle Freeman, di tempat keempat dan kelima.

Pertandingan itu, yang disiarkan rangkaian televisyen ABC, dianjurkan Pertubuhan Ratu Amerika untuk membantu gadis berdepan pertumbuhan peribadi dan karier. Pada 2011, kumpulan berkenaan menawarkan lebih AS$45 juta (RM140 juta) secara tunai dan bantuan biasiswa.
Peserta bertanding dalam pertandingan tempatan dan negeri sebelum ke peringkat kebangsaan. Secara keseluruhan, 53 wanita bersaing merebut gelaran Ratu Amerika tahun ini.

Ia disiarkan menerusi televisyen sejak 1954 menjadikan pertandingan itu rancangan televisyen keempat paling lama dan bagi versi 2012 penerbit mengemaskini format untuk menjadikan ia kelihatan pertandingan realiti moden. – Reuters

0 comments:

Post a Comment