26 January 2012

Puting beliung akibatkan tujuh mati

JAKARTA - Puting beliung dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di pulau Jawa dan Bali pada Rabu mengakibatkan tujuh orang maut, 51 cedera dan lebh 1,000 rumah penduduk rosak.
Mangsa yang terbunuh akibat ditimpa pokok terdiri daripada tiga orang di Purbalingga, masing-masing seorang di Jakarta Selatan dan Wonosobo serta dua orang di Bali.
 
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mencatatkan 22 daerah dan bandar dilanda puting beliung pada Rabu iaitu Jakarta Selatan, Kepulauan Seribu, Bekasi, Sukabumi, Indramayu,  Magelang, Semarang, Sleman, Wonosobo, Purbalingga, Banjarnegara, Ponorogo, Ngawi, Magetan, Situbondo, Kediri, Blitar, Malang, Bangkalan, Sumenep dan Bali.
 
Kerosakan rumah paling banyak ialah di Kepulauan Seribu yang melibatkan sejumlah 499 rumah.
 
BNPB berkata puting beliung dan angin kencang yang berlaku semalam dipengaruhi siklon tropika IGGY yang berada di Lautan Hindi di sebelah Selatan Bali dan Nusa Tenggara.
 
Mengikut ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, siklon tropika IGGY membawa kesan tiupan angin berkelajuan lebih 36 km sejam dan gelombang laut setinggi empat hingga enam meter di beberapa perairan Indonesia. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment