29 January 2012

Presiden Yaman berubat di AS

NEW YORK: Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh, yang dijangka melepaskan jawatan bulan depan, tiba di Amerika Syarikat kelmarin dalam lawatan untuk mendapatkan rawatan perubatan bagi kecederaan akibat terkena bom sebelum ini.

Pesawat yang membawa pemimpin itu berlepas dari Oman untuk ke Amerika Syarikat, singgah di Lapangan Terbang Stansted London untuk mengisi petrol mengakhiri spekulasi sama ada beliau akan melakukan lawatan itu.
“Presiden Saleh tiba petang ini di Amerika untuk lawatan singkat bagi menjalani rawatan,” kata jurucakap Kedutaan Yaman di Washington, Mohammed Albasha dalam satu kenyataan.
Dalam perjalanan yang dianggap rahsia itu, tiada pengesahan di mana lokasi ketibaan Saleh.

Sumber British memberitahu AFP bahawa Saleh dalam perjalanan ke New York dan pesawat membawanya singgah di London untuk mengisi minyak.

Namun, walaupun media melaporkan bahawa Saleh akan dirawat di Hospital Presbyterian New York, jurucakap hospital itu, Kathy Robinson, memberitahu AFP: “Presiden ketika ini bukanlah pesakit,”

Selain menyediakan Saleh peluang untuk mendapatkan bantuan perubatan, pemergiannya di Amerika dilihat sebagai membantu memudahkan peralihan kuasa di negara itu daripada tiga dekad pemerintahannya.
Selepas beberapa bulan penentangan berdarah di Yaman, Saleh akhirnya menandatangani perjanjian peralihan kuasa pada November.

Di London, jurucakap Pejabat Luar Negara mengalu-alukan kedatangan pemimpin Yaman itu.

“Pada masa pergolakan dan di Yaman dan ancaman yang semakin meningkat, kita melihat ia membantu Presiden Saleh keluar dari negara itu menjelang pilihan raya presiden sementara pada Februari,” jurucakap British.

Saleh cedera parah dalam satu pengeboman di istana presiden di ibu negara Sanaa Jun lalu dan dihantar ke Arab Saudi untuk dirawat.

Beliau berada di Oman sejak Ahad lalu bersama isteri dan lima anaknya.
Awal minggu ini, laporan menyatakan beliau sudah meninggalkan negara itu tetapi ia tidak benar.

Pemerhati hak kemanusiaan mengutuk keputusan membenarkan Saleh memasuki Amerika.

“Sungguh mengerikan, Presiden Saleh tiba di Amerika untuk menerima rawatan kelas pertama, pada masa sama ratusan mangsa di Yaman dibiarkan tanpa rawatan perubatan dan pasti tiada keadilan bagi kekejaman dialami.

“Pentadbiran Presiden Barack Obama mesti menegaskan mereka yang bertanggungjawab bagi kekejaman di Yaman akan dibawa ke kandang tertuduh,” kata aktivis Majlis Keadilan Antarabangsa Balkees Jarrah.

Duta Amerika ke Yaman, Gerald Feierstein, berkata Saleh diberikan visa atas alasan perubatan semata-mata.

“Kami rasa ketiadaannya akan membantu peralihan, kami fikir ia akan membantu atmosfera,” katanya.

Saleh dijadualkan ke New York bagi rawatan akhir tahun lalu. – AFP

0 comments:

Post a Comment