25 January 2012

Polis tidak kompromi

polis
KEPALA BATAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menggunakan pendekatan mendidik, sebaliknya penguatkuasaan terhadap pesalah jalan raya dalam Ops Sikap Ke-25 sempena Tahun Baru Cina kali ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, pihaknya mengeluarkan saman kepada pengguna yang melakukan kesalahan selepas pelbagai pendekatan sebelum ini gagal mendidik mereka.

“Sepanjang kempen Ops Sikap bermula 16 Januari lalu sehingga tempoh tamat 30 Januari ini, kita menggunakan konsep penguatkuasaan untuk mengubah sikap pengguna jalan raya.

“Kita terpaksa melakukannya kerana kaedah mendidik yang digunakan sebelum ini gagal mengurangkan kes kemalangan termasuk peningkatan kemalangan maut,” katanya.

Beliau berkata demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di sini, dalam rangka lawatan kerja dan pemantauan Ops Sikap Ke-25 di kawasan utara.

Turut mengiringinya ialah Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Aziz Mohd Yusoff dan Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Zulkifli Alias.

Mengenai peningkatan kes kemalangan selepas enam hari Ops Sikap Ke-25 dilancarkan, Mat Salleh berkata, 70 kematian melibatkan kemalangan maut berlaku di semua jalan meliputi jalan persekutuan dan negeri.

Menurutnya, hasil analisis mendapati kesalahan itu merupakan punca utama penyumbang kemalangan dan bukan disebabkan kecuaian pengguna jalan raya sepertimana yang diperkatakan selama ini.

Bagi menguatkuasakan undang-undang jalan raya sepanjang Ops Sikap kali ini, 5,000 pegawai dan anggota pelbagai unit dikerah bertugas.

“Kita terpaksa meletakkan ramai petugas untuk menguatkuasakan undang-undang bagi memberi kesedaran kepada pengguna ingkar,” katanya.

0 comments:

Post a Comment