29 January 2012

Polis tahan 26 pelacur asing


KUALA LUMPUR -  Dua puluh enam pelacur rakyat asing diberkas dalam serbuan polis di sebuah rumah teres tiga tingkat di Pandan Perdana, Ampang, di sini awal hari ini. 
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata sebilangan pelacur rakyat Myanmar dan Thailand yang berumur antara 19 dan awal 20-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
 
"Kami percaya rumah itu digunakan sebagai transit untuk kegiatan pelacuran di sekitar Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas operasi itu berakhir pada pukul 2 pagi.
 
Amiruddin berkata ketika serbuan, beberapa pelacur cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah namun berjaya dihalang polis dan ada yang cuba  bersembunyi di dalam rumah itu.
 
Beliau berkata kesemua wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk menjalani ujian air kencing serta pengesahan dokumen, dan dijangka dihantar pulang ke negara masing-masing dalam masa terdekat. 
 
Sebelum itu, pasukan berkenaan menyerbu sebuah pusat hiburan berhampiran dan menahan 30 pengunjung dan 11 wanita yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO).
 
Hasil siasatan mendapati pusat hiburan terbabit menjual kalungan bunga dan kostum khas kepada pelanggan sebagai "tip" untuk mereka melanggan GRO kegemaran mereka.
 
Kalungan bunga itu dijual antara RM20 dan RM100 mengikut kuantiti bunga manakala kostum khas itu boleh mencecah RM500, kata polis.

Operasi selama dua jam bermula 12 tengah malam itu disertai lima pegawai dan 15 anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPD Ampang Jaya.

0 comments:

Post a Comment