28 January 2012

Polis tahan 10 lelaki


MELAKA 28 Jan. - Polis menahan 10 lelaki yang disyaki menyerang lima anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam operasi besar-besaran yang dilancarkan sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 19 hingga 42 tahun itu ditahan di beberapa kawasan di negeri ini.

"Kesemua mereka kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini. Mereka yang ditahan dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan kes serangan ke atas lima anggota penguat kuasa MBMB malam Khamis lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, polis juga memburu saki baki kumpulan itu termasuk seorang lelaki, Loh Swee Beng, 49, dengan nombor kad pengenalan 620819-04-5301 yang dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan kes tersebut.

"Kesemua suspek dipercayai kini menyembunyikan diri selepas kejadian," ujarnya.

Dalam kejadian pukul 11.45 malam Khamis lalu, lima anggota penguat kuasa MBMB cedera diserang lebih 30 lelaki di Taman Seri Duyong di sini.

Selain seorang anggota yang terkoyak di lengan kanan, empat lagi rakannya pula cedera akibat dipukul hingga lebam-lebam dan bengkak-bengkak di beberapa anggota badan oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan batang besi, rotan serta kayu.

Cermin sebuah van yang digunakan dalam operasi MBMB itu turut dipecahkan dalam serangan tersebut.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi lain, kata Raja Shahrom, seramai 24 pengunjung dan pengusaha kafe siber perjudian haram ditahan di bandar ini.

Hasil operasi yang dijalankan atas maklumat orang ramai itu, katanya, sebanyak 54 buat komputer telah dirampas.

0 comments:

Post a Comment