KOTA BHARU- Polis Kelantan menahan tiga lelaki termasuk salah seorangnya warganegara Thailand dan merampas selaras senapang patah bersama sebutir peluru ketika memeriksa sebuah kereta Proton Satria di Jalan Doktor, dekat sini, malam semalam.

Tiga lelaki terbabit yang berusia 41 hingga 55 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, yang diketuai oleh Asisten Superintendan, Bashar Salam dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam selepas menerima maklumat orang ramai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sebaik menahan ketiga-tiga suspek itu, polis turut menemui enam butir peluru jenis 12 Bore yang disorok di dalam beg kain.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bonet kereta terbabit, polis turut menemui satu rangkai bahan letupan buatan sendiri yang dilekatkan pada sekeping kain.

“Selain itu juga, tindakan pantas pegawai dan anggota yang kemudiannya turut menemui enam telefon bimbit di dalam kereta terbabit,” katanya.

Jalaluddin berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit masing-masing berasal dari Thailand, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu dan Kampung Telekong dekat Kuala Krai, itu ditahan reman tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 8A Akta Senjata api 1960; Seksyen 4 Akta Bahan Letupan dan Akta Imigresen terhadap warganegara Thailand kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan, ketiga-tiga lelaki terbabit akan melakukan jenayah berikutan senjata api serta bahan letupan yang mereka miliki itu.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini, salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah.