15 January 2012

Polis masih buru penjenayah samun rumah Wardina

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Polis masih memburu tiga suspek yang terlibat menyamun rumah pelakon, model dan pengacara televisyen, Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, usaha itu sedang giat dijalankan memandangkan terdapat dua kes berasingan di lokasi sama dalam tempoh terdekat turut berlaku selepas kejadian di rumah Wardina.

Katanya, polis juga sedang menyiasat adakah kejadian samun itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang sama.

"Buat masa ini, polis belum membuat sebarang tangkapan namun kes ini dalam penyiasatan kita dan ia dilakukan secara berterusan," katanya ketika ditemui pada Majlis Kempen Balik Kampung sempena perayaan Tahun Baru Cina di Taman Putra, Ampang dekat sini hari ini.

Wardina Saffiyah, 33, serta suami dan tiga anaknya melalui detik-detik mencemaskan selepas tiga suspek dipercayai warga asing menceroboh masuk rumahnya menyebabkan dia sekeluarga kerugian hampir RM30,000.

Dalam perkembangan sama, Amiruddin turut menasihati orang ramai supaya mengisi borong yang disediakan polis jika mahu meninggalkan kediaman masing-masing sempena perayaan ini.

Kata beliau, tindakan itu bagi memastikan polis dapat meronda di kawasan berkenaan sekali gus mengelak berlaku jenayah harta benda.

0 comments:

Post a Comment