17 January 2012

Polis kenal pasti lokasi bahaya

Polis kenal pasti lokasi bahaya
SUBANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti sebanyak 10 lagi hotspot kemalangan maut di seluruh negara pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 97 kawasan berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam Ops Sikap ke-25 ini, seramai 97 pasukan dari kalangan PDRM dan beberapa agensi penguat kuasa lain ditempatkan untuk membuat pemantauan di semua lokasi terbabit.

Beliau berkata, pasukan pemantau itu ditugaskan untuk membuat kajian dan analisa harian di semua lokasi berkenaan.

“Pada masa sama, mereka bertanggungjawab untuk mencari kaedah dan pendekatan bersesuaian dan boleh diguna pakai bagi mengurangkan kadar kemalangan di semua lokasi terbabit.

“Melalui pendekatan ini, kita harap jumlah peratusan kemalangan maut dapat diturunkan, sekali gus untuk memastikan keselamatan para pengguna jalan raya khususnya yang bercuti dan pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baru Cina,” katanya pada Majlis Pelancaran Ops Sikap Ke-25 dan Kempen Rumah selamat 2012 di Persada PLUS di sini, semalam.

Ismail berkata, Ops Sikap ke-25 sempena perayaan Tahun Baru Cina juga lebih menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan dan operasi, berikutan kegagalan ops sikap terdahulu yang lebih menekankan kaedah advokasi kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, sebelum ini pendekatan melalui advokasi iaitu pemerhatian oleh anggota trafik agar pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang kurang berkesan, malah kadar kemalangan maut dalam ops sikap Tahun Baru Cina lalu juga mencatatkan peningkatan.

Katanya, melalui strategi terbaru dalam ops sikap kali ini, pesalah trafik yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang seperti saman serta merta.

0 comments:

Post a Comment