25 January 2012

Polis cekup 2 lelaki cuba larikan tunai RM552,000

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang cuba melarikan wang tunai RM552,000 daripada pengawal keselamatan yang sedang membawa masuk karung wang tersebut ke dalam sebuah van di Bandar Baru Bangi dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata kejadian itu berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Baru Bangi kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.

Kejadian itu berlaku ketika dua pengawal keselamatan yang sedang menjinjing karung wang tersebut dari pusat membeli belah itu untuk dibawa ke sebuah van, telah didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dan bersenjata pistol mainan, katanya.

Beliau berkata seorang daripada pengawal keselamatan itu yang menyedari pistol itu pistol mainan telah bertindak menarik suspek yang membonceng motosikal itu dan menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya.
Lelaki berumur 20 tahun ini terus diberkas oleh orang ramai yang melihat kejadian itu, sementara penunggang motosikal yang berumur 30 tahun berjaya melarikan diri, katanya.

Beliau berkata bagaimanapun hasil siasatan polis, lelaki 30 tahun itu berjaya diberkas di sekitar Kajang dengan bantuan polis bantuan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Kedua-dua mereka disiasat bagi kesalahan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 394/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan, katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment