24 January 2012

PKR sambut baik idea debat Najib-Anwar

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalu-alukan idea agar diadakan satu debat terbuka antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pendekatan sedemikian perlu bagi menyuburkan budaya membahas dan membincangkan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat dari semasa ke semasa secara konstruktif, membabitkan pemimpin-pemimpin negara.

"Ini satu idea yang baik khususnya menjelang pilihan raya umum, sebagaimana amalan di negara-negara lain, yang kini turut diamalkan di Jepun dan juga Korea, di mana debat dan perbahasan politik diadakan bagi rakyat menilai dasar-dasar dan pendekatan yang dibawa, yang hendak dibawa," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Katanya, jika idea itu menjadi kenyataan, ia pastinya akan menjadi satu lembaran baru arena politik negara ini.

Beliau mengulas pandangan Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian agar Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.

Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.

"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.

Bagaimanapun, dalam reaksinya Umno berpendapat bahawa cadangan debat terbuka antara Najib dan Anwar bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, budaya debat adalah budaya Barat yang masih belum boleh diterima di negara ini.

0 comments:

Post a Comment