20 January 2012

Pervez Musharraf akan ditahan jika pulang

Pervez Musharraf (tengah) disambut oleh penyokongnya di Dubai sebelum menyampaikan ucapan yang disiarkan melalui video kepada kira-kira 8,000 penyokong di tengah Karachi pada 8 Januari lalu, mengumumkan beliau akan pulang ke Pakistan pada akhir bulan ini. - REUTERS



ISLAMABAD - Kerajaan Pakistan hari ini mengesahkan akan menahan bekas Jeneral Pervez Musharraf seandainya beliau kembali ke negara ini seperti yang diumumkannya, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Rehman Maliki memberitahu Parlimen semalam, pemimpin tentera itu tetap akan ditahan kerana dia merupakan seorang pesalah.

"Terdapat tiga kes yang didaftar atas namanya. Jadi dia tetap akan ditahan," katanya.

Dalam ucapan telefon kepada pengikutnya di Karachi pada 8 Januari lalu, Musharraf berjanji akan kembali ke Pakistan antara 27 hingga 30 Januari ini bagi menyertai pilihan raya umum yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

"Saya tetap akan tiba di Karachi walaupun apa yang akan terjadi," katanya.

Pada Oktober 2008, mahkamah Pakistan mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau berhubung pembunuhan pemimpin pemberontak Baluch, Akbar Bugti dalam serbuan tentera di sebuah gua di kawasan timur laut negara ini pada Ogos 2006.

Tahun berikutnya, Musharraf didakwa dengan kes jenayah berhubung penahanan hakim dan keadaan darurat 2007 yang berpunca daripada penyalahgunaan kuasa.

Tahun lalu, satu lagi waran tangkap dikeluarkan terhadapnya berikutan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, kerana dikatakan gagal melindungi keselamatan beliau. - AFP

0 comments:

Post a Comment