14 January 2012

Perang media dan persaingan kuasa dunia Arab

Kebangkitan rakyat di Asia Barat meningkatkan profil media baharu dan jaringan sosial yang dikaitkan sebagai penyumbang besar kepada perubahan politik serantau itu.
Alat dalam media baharu seperti blog dan jaringan sosial di internet mendapat perhatian meluas media seluruh dunia ekoran tercetusnya protes besar-besaran di rantau Asia Barat yang telah menjatuhkan pemimpin di Tunisia, Mesir dan terbaharu, Yaman.
Walau bagaimanapun, media tradisional telah dan sedang menjadi elemen penting dalam percaturan politik domestik dan serantau rantau itu, melibatkan berbilion dolar perbelanjaan oleh kuasa-kuasa berkepentingan.
Kepentingan media tradisional - yang sebahagian kandungannya turut disampaikan melalui media baharu - terutamanya televisyen, masih dapat dilihat berperanan dalam persaingan kuasa-kuasa di Asia Barat.
Kes al-Jazeera merupakan yang paling jelas menunjukkan bagaimana media, dalam kes ini televisyen satelit, menjadi elemen penting bagi sebuah negara yang beraspirasi menjadi kuasa berpengaruh serantau.
Al-Jazeera kini menjadi instrumen dasar luar paling berpengaruh bagi Qatar, negara kecil di Teluk Parsi yang semakin aktif menggerakkan dasar luarnya di rantau Asia Barat.
Saluran berita televisyen satelit itu ditubuhkan oleh kerajaan Qatar, iaitu keluarga raja yang memerintah negara itu dan mula beroperasi pada November 1996.
Saluran berita berpengaruh itu menjadi salah satu alat untuk kepentingan politik Qatar dalam usahanya menunjukkan diri sebagai sebuah negara yang menyokong dan menyebarkan demokrasi, seperti yang dilihat melalui laporan revolusi di Mesir.
Peranan dimainkan al-Jazeera itu kelihatan membawa hasil dari segi itu apabila mendapat pujian Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada Mac lalu berhubung liputan revolusi di dunia Arab.
Revolusi Arab semakin meningkatkan profil al-Jazeera sebagai media yang berperanan dalam menyebarkan demokrasi di dunia Arab.
Satu pendedahan WikiLeaks menjelaskan bagaimana kerajaan Qatar menggunakan al-Jazeera sebagai senjata dalam tawar-menawar dengan kerajaan serantau.
Kerajaan Qatar didakwa mempengaruhi al-Jazeera mengubah dan menyesuaikan laporan dan kritikan terhadap sesebuah rejim, seperti melunakkan kritikan terhadap sesebuah rejim ekoran persetujuan dicapai Doha dengan kerajaan negara terbabit.
Satu isu yang menjadi perhatian ialah hubungan Qatar dengan Arab Saudi, yang pernah dingin ekoran laporan kritikal al-Jazeera berhubung pemerintah di Riyadh. Al-Jazeera dilapor mengurangkan kritikan terhadap Saudi ekoran pemulihan hubungan Doha dengan Riyadh.
Hubungan baik Qatar-Saudi ini didakwa terus mempengaruhi liputan al-Jazeera hingga kini, termasuk melibatkan protes di timur Arab Saudi dan Bahrain, yang kedua-dua Riyadh dan Doha mempunyai kepentingan untuk melihat rejim sedia ada dipelihara.
Protes di Bahrain terhadap kerajaan dikuasai keluarga diraja al-Khalifah dilihat sebagai berpotensi menggugat rejim-rejim monarki rantau Teluk Parsi yang juga melibatkan negara jiran Bahrain, Arab Saudi dan Qatar.
Tidak seperti protes di Mesir, al-Jazeera tidak memberi liputan meluas terhadap situasi di Bahrain, yang Saudi dan Qatar sebagai kuasa serantau dan ahli dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah memutuskan untuk menghantar tentera membantu rejim al-Khalifah.
Hal itu menampakkan kepentingan politik domestik dan serantau kedua-dua Doha dan Riyadh dengan lebih jelas.
Pada masa sama, stesen berita televisyen dimiliki pelabur Saudi dan Arab lain, al-Arabiya turut memainkan peranan yang sama dalam liputan isu-isu yang melibatkan kepentingannya dan sekutu dalam GCC, blok politik dan ekonomi negara kaya didominasi Riyadh.
Al-Arabiya yang bersiaran dalam bahasa Arab mula beroperasi pada 2003 untuk menyaingi al-Jazeera, yang didakwa pengendali al-Arabiya sebagai membawa kandungan yang radikal.
Pada awal kemunculannya, al-Jazeera mencipta nama sebagai media yag mendapat liputan eksklusif Osama bin Laden.
Al-Arabiya ditubuhkan ketika hubungan Riyadh dengan Doha masih dingin ekoran liputan kritikal al-Jazeera.
Dimensi politik serantau dapat diperhatikan pada pemilikan al-Arabiya, yang dimiliki sebahagian oleh Middle East Broadcasting Center, sebuah syarikat Saudi dan pelabur-pelabur Arab termasuk dari Teluk Parsi serta Hariri Group, syarikat dikuasai Rafik al-Hariri, bekas perdana menteri Lubnan yang rapat dengan Riyadh.
Dalam persaingan naratif peristiwa-peristiwa di Asai Barat, al-Arabiya memberikan liputan yang condong mewakili kepentingan Saudi dan menawarkan perspektif kuasa serantau itu.
Pada permukaan, al-Jazeera dapat dilihat lebih seimbang berbanding al-Arabiya yang jelas bias kepada Saudi dan pro-AS.
Pemulihan hubungan Saudi dengan Qatar kini memberikan petanda potensi liputan yang semakin banyak persamaan antara al-Jazeera dengan media dikuasai Saudi, atau sekurang-kurangnya mengabaikan liputan isu yang sensitif terhadap kepentingan bersama.
Al-Jazeera kini menjadi pilihan lebih 50 peratus penonton di Asia Barat, dengan al-Arabiya di tempat ketiga dengan sekitar 9 peratus.
Sekiranya liputan al-Jazeera dipengaruhi dengan signifikan ekoran pemulihan hubungan dan perkongsian agenda Qatar dengan Saudi, sebahagian besar pasaran media Arab bakal menyaksikan kandungan yang tidak jauh berbeza, mengecilkan peluang suara alternatif didengari.
Keluarga diraja Saudi ialah pemilik media – termasuk televisyen dan media cetak – terbesar di dunia Arab, dan berupaya mempengaruhi bentuk dan kecondongan liputan media yang mereka mempunyai kepentingan.
Malah, Putera al-Waleed bin Talal, seorang ahli keluarga diraja Saudi, digelar Rupert Murdoch Arab kerana peranannya dalam media.
Gelaran itu menepati bukan sahaja pemilikan berbilion daam syarikat media tetapi juga terkait dengan hubungannya dengan golongan konservatif di AS.
Beliau kini merupakan pemegang saham kedua terbesar dalam News Corp, pemilik rangkaian Fox News yang konservatif.
Sebuah lagi pemain utama media di Asia Barat ialah Iran, yang mempunyai saluran berita televisyen al-Alam dan Press TV, yang juga menunjukkan ideologi dan bias yang jelas.
Persaingan naratif media dikuasai Iran dengan Saudi paling mudah untuk diperhatikan, dengan al-Arabiya mengambil garis Riyadh dan al-Alam dan Press TV menurut garisan Tehran.
Persaingan ini dapat diperhtikan dalam semua laporan, terutama yang berkepentingn kepada dua kuasa serantau itu seperti pemberontakan Houthi di utara Yaman dan protes di Bahrain.
Satu kes yang jelas ialah protes di Bahrain yang melibatkan warga majoriti Syiah menentang rejim pimpinan Raja Hamad bin Isa al-Khalifah beraliran Sunni.
Kedua-dua pihak yang berseberangan memberikan laporan dan analisis yang jelas bertentangan, dengan masing-masing menegaskan perspektif berbeza; media Saudi mempertahankan kerajaan Bahrain dan menegatifkan warga Syiah manakala media Iran menyokong penuh aspirasi rakyat Bahrain dan menolak kekerasan kerajaan dan campur tangan asing (Saudi dan sekutu) di negara itu.
Persaingan naratif ini juga dapat menjelaskan politik aliansi di Timur Tengah melibatkan kuasa-kuasa terbabit.
Media dikuasai Saudi memberikan liputan berbeza melibatkan protes di Bahrain dengan peristiwa yang sama di Libya dan Syria, sekutu kuat Iran di dunia Arab.
Hal yang sama juga melibatkan media dikuasai Iran yang menumpukan pada protes di Bahrain dan menenggelamkan protes rakyat di Syria, negara sekutunya sejak 1979 di dunia Arab.
Saudi membawa naratif konflik sektarian manakala Iran membawa garisan perjuangan rakyat tertindas, dengan kerajaan dibantu kuasa asing.
Persaingan ini juga dapat diperhatikan di Lubnan, medan persaingan paling sengit Iran dan Syria dengan Saudi dan sekutunya.
Lanskap media televisyen di Asia Barat menjadi semakin menarik perhatian sejak tercetus kebangkitan rakyat rantau itu Disember tahun lalu.
Kejayaan al-Jazeera setakat ini telah menunjukkan kepada kuasa-kuasa serantau tentang pentingnya penguasaan ke atas media yang mempunyai audiens meluas di rantau terbabit.
Peranan dan potensi untuk mempengaruhi massa, menyebarkan pengaruh dalam pelaksanaan dasar luar menjadikan pemilikan dan kawalan ke atas media terus menjadi penting kepada kuasa-kuasa serantau di Asia Barat.
Realiti persaingan kuasa, suasana yang sentiasa berubah, dan masa depan yang tidak dapat dijangka bakal menjadikan perang media di Asia Barat semakin meningkat.

0 comments:

Post a Comment