27 January 2012

Penyu mahu elak perangkap Singa


KUDRAT Manaf Mamat (kiri) ditagih oleh Mat Zan dalam usaha mereka menjinakkan Lions XII malam ini.

DI sebalik prestasi konsisten yang dipamerkan anak-anak buahnya, sebenarnya masih ada rasa bimbang yang menyelubungi perasaan jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris menjelang pertemuan menentang Singapura dalam aksi Liga Super malam ini.

Tanpa berselindung, Mat Zan mengakui beraksi di rumput tiruan di Stadium Jalan Besar merupakan suatu tugas sukar yang bakal dilalui para pemainnya.

Jelasnya, hanya beberapa pemain Harimau Muda yang menyertai Terengganu musim ini selain pemain kebangsaan yang sudah biasa beraksi di rumput tiruan.

Justeru katanya, pertembungan menentang Singapura merupakan suatu ujian besar buat skuad Penyu itu dalam misi membawa pulang tiga mata penuh.

"Saya hanya berharap pemain-pemain kami termasuk dua bintang import dapat menyesuaikan diri dengan beraksi di rumput tiruan.

"Jika kami berjaya melepasi halangan ini, maka ia suatu bonus buat pasukan untuk meneruskan misi memburu kejuaraan liga musim ini," katanya semalam.

Dalam pada itu, Mat Zan juga mengingatkan para pemainnya agar bersedia dengan perubahan drastik yang bakal berlaku dalam pergerakan bola dan tidak terperangkap dengan corak permainan pantas pasukan lawan.

"Sebab itu kami mengharapkan penyerang Liberia, Francis Forkey Doe dapat membuktikan kemahiran terbaiknya selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali," ujarnya.
Tambah beliau, Forkey Doe yang kini telah menjaringkan tiga gol daripada dua penampilan, bakal digandingkan dengan Abdul Manaf Mamat di bahagian serangan.

"Saya akan menurunkan pasukan terbaik dan kemungkinan akan menyenaraikan Ismail Faruqi dan Joseph Kalang Tie dalam kesebelasan utama selepas hanya diletakkan di bangku simpanan pada aksi menentang T-Team sebelum ini," katanya.

Bekas pengendali Kuala Lumpur itu turut meramalkan kapten Singapura, Shahril Ishak serta pemain penyerang, Agu Casmir sebagai dua pemain yang perlu diawasi dan tidak boleh dibiarkan bergerak bebas.

0 comments:

Post a Comment