26 January 2012

Penyangak tabur paku atas jalan

JAKARTA: Satu sindiket dipercayai terbabit menabur paku di jalan raya di sekitar bandar raya ini bagi tujuan meningkatkan perniagaan bengkel bergerak mereka.

Setap hari sebelum terbit mata hari, anggota kumpulan berkenaan mensabotaj jalan raya dengan menaburkan ratusan paku dan objek tajam yang lain sebelum mendirikan bengkel di tepi jalan.

Mereka kemudian menanti kedatangan mangsa dengan tayar kenderaan yang pancit. “Saya amat bosan. Saya tidak boleh terus membelanjakan pendapatan saya dengan membeli tayar baru. Andai kata saya dapat tangkap mereka yang terbabit, saya akan menelanjangkannya dan memaku setiap liang roma tubuhnya,” kata pemandu teksi motor, Talib, 30, dengan nada marah.

Dia menjadi mangsa tayar pancit minggu lalu dan kembali ke tempat kejadian untuk mencari penyangak terbabit.

“Kami akan paksa mereka telan paku itu. Biarkan mereka merasakan kesakitan kami dan belajar beberapa adab,” kata rakan Talib, Sulaiman, 50.

“Biasanya, penyangak berkenaan akan mengisi kotak mancis dan karung plastik dengan paku dan objek tajam serta menaburkannya di jalan raya yang sibuk pada awal pagi,” kata jurucakap polis.

Menurutnya, perbuatan itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

“Apabila mangsa pergi kepada mekanik tepi jalan, mereka sering diberitahu bahawa tayar mereka perlu ditukar baru sementara kosnya dua kali ganda berbanding biasa,” kata Rikwanto.

Bagi mekanik terbabit yang bekerja secara berpasangan, seorang menabur paku dan seorang lagi membaiki, pendapatan antara RM66 hingga RM122 sehari adalah biasa.

Ia perniagaan yang baik di negara yang separuh daripada 240 juta penduduknya hidup dengan pendapatan kurang daripada RM6 sehari.

Bulan lalu, polis menahan lapan suspek yang berdepan dengan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan merosakkan harta benda, kata Rikwanto.

“Kami masih menjejaki lebih ramai suspek. Kami menerima begitu banyak aduan daripada pengguna jalan raya tetapi sukar untuk menangkap penyangak itu,” katanya. - AFP

0 comments:

Post a Comment