Bani Walid
TRIPOLI - Pengikut setia bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya menawan semula seluruh Bani Walid, kelmarin selepas melancarkan beberapa siri serangan di beberapa bandar dan turut menyebabkan tujuh bekas pemberontak terkorban dalam insiden itu.

Kejadian keganasan tersebut dipercayai berlaku selepas pemimpin kerajaan baru Libya berhasrat menghapuskan kuasa pro-Gaddafi untuk tujuan menyatukan negara di bawah satu pemerintahan.
 
Bekas ahli Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mbarek al-Fotmani berkata, serangan itu turut menyasarkan Tripoli dan bandar timur Benghazi.
 
“Seramai kira-kira 150 penyokong pro-Gaddafi bertempur di jalanan. Mereka juga bertindak mengibarkan bendera rejim Gaddafi di pintu masuk di utara bandar tersebut,” menurut jurucakap kerajaan di Bani Walid, Mahmoud al-Warfali.
 
Dalam satu kenyataan, seorang penduduk di Bani Walid mendakwa pertempuran tersebut tercetus selepas pasukan tentera revolusi menahan seorang pengikut setia Gaddafi dan mereka nekad melancarkan serangan untuk membebaskannya.