14 January 2012

Pengeluaran candu melonjak di Afghanistan

VIENNA: Pengeluaran candu dan harga hasil tanaman haram melambung 133 peratus di Afghanistan tahun lalu, menurut laporan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah menyatakan, pendapatan petani daripada tanaman candu di Afghanistan pada 2011 mencecah AS$1.4 bilion (RM4.38 bilion), mewakili sembilan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Oleh itu, candu menjadi sebahagian penting ekonomi Afghanistan yang menjadi sumber besar membiayai pemberontakan dan meningkatkan rasuah,” kata pengarah eksekutif pejabat PBB itu, Yury Fedotov, dalam satu kenyataan.
Afghanistan menanam kira-kira 90 peratus candu dunia.

PBB berkata, penanaman pokok popi meliputi lebih daripada 131,000 hektar pada 2011, hingga tujuh peratus dari tahun sebelum ini.

Secara keseluruhan, tanaman candu meningkat sehingga 61 peratus daripada 3,600 tan metrik pada 2010 ke 5,800 tan metrik pada 2011.

Nilai tuaian candu meningkat kepada 133 peratus pada 2010 apabila penyakit tanaman memusnahkan kebanyakan tanaman Afghan. Harga tinggi candu bermakna penanaman popi masih menjadi pilihan petani Afghan.
Menambahkan lagi masalah ialah kejatuhan harga gandum. Tahun lalu, candu menghasilkan 11 kali lebih pendapatan kepada petani Afghanistan berbanding gandum.

“Komitmen kukuh daripada rakan kongsi nasional dan antarabangsa amat diperlukan bagi mengurangkannya,” kata Fedetov.

Sebahagian besar candu dari Afghanistan diseludup menerusi Iran dan Pakistan.

Russia yang mempunyai dua juta penagih dadah dan heroin turut menjadi laluan utama narkotik ke rantau Eropah.

Moscow sering menggesa tentera Amerika Syarikat mengambil langkah lebih tegas terhadap makmal dadah di Afghanistan.

Selain itu, Russia juga melatih beratus-ratus ejen anti narkotik Afghanistan bagi menangani masalah penyeludupan itu.

“Kegiatan membanteras penyeludupan dadah bukan hanya ditangani unit khas tetapi menjadi tanggungjawab mereka yang gusar dengan keselamatan, kestabilan, pemerintahan dan pembangunan Afghanistan,” kata Fedotov lagi. – AFP/AP

0 comments:

Post a Comment