26 January 2012

Penduduk rimas Pekan Bahau kotor


BEGINILAH keadaan sampah-sarap yang berlonggok serta berbau busuk sehingga mencemarkan pemandangan berhampiran Perhentian bas Bahau, baru-baru ini.


JEMPOL – Penduduk dan pengunjung Pekan Bahau dekat sini melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan yang gagal menguruskan timbunan sampah-sarap di tepi-tepi jalan di sekitar pekan itu.

Seorang penduduk, Lim Boon Hiong, 25, berkata, masalah itu telah berlarutan sejak setahun lalu namun sehingga hari ini tiada tindakan berkesan diambil.

Menurut beliau, lebih memburukkan keadaan apabila terdapat segelintir pihak yang mengambil jalan mudah dengan membuang sampah sesuka hati di tempat yang tidak sepatutnya.

“Sudahlah busuk, sampah pula bersepah di tepi jalan. Bayangkan bau busuk itu juga dapat dihidu walaupun berada di dalam kenderaan.

“Masalah ini mencemarkan imej pekan ini apatah lagi ramai orang luar datang ke Bahau dengan menggunakan perkhidmatan bas. Turun sahaja di perhentian bas, mereka disajikan dengan pemandangan kotor,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Phung Er Cheng, 54, pula mempersoalkan sikap segelintir peniaga yang gemar mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di tepi-tepi jalan.

“Apa yang saya dapat lihat, mereka membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya asalkan dekat dengan premis mereka.

“Saya sudah menetap di sini sejak sekian lama, dahulu tempat ini cantik dan banyak kemudahan yang disediakan. Namun sekarang dengan keadaan seperti ini sudah tentu memalukan warga pekan ini,” katanya.

Er Cheng meminta pihak berkuasa tempatan meningkatkan kempen kesedaran tentang kebersihan selain menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang degil.

“Pihak bertanggungjawab juga perlu menyediakan lebih banyak tong sampah berskala besar bagi membolehkan para peniaga membuang sampah di tempat yang disediakan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment