17 January 2012

Penduduk China di bandar bertambah

BEIJING 17 Jan. - Bilangan penduduk China yang tinggal di bandar dilaporkan mengatasi jumlah penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar buat kali pertama, ekoran peluang ekonomi yang lebih baik di bandar-bandar.
Biro Statistik Negara (NBS) berkata, sebanyak 51.27 peratus atau 690.8 juta penduduk China kini tinggal di bandar daripada jumlah keseluruhan rakyat China berjumlah 1.35 bilion.
Katanya, China merupakan negara berasaskan pertanian sejak berabad-abad lalu, namun pelaksanaan perubahan ekonomi sejak tiga dekad lalu menyebabkan China mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat, sekali gus menyebabkan sebilangan besar penduduk kampung berpindah ke bandar dan kawasan pantai.
"Sebanyak 21 juta orang berpindah ke bandar pada tahun lalu, jumlah yang dianggarkan sama dengan jumlah penduduk Sri Lanka, manakala bilangan penduduk di kawasan luar bandar semakin merosot.
"Jumlah tersebut termasuk bilangan besar pekerja migran iaitu penduduk kampung yang mencari pekerjaan di pekan dan bandar untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi China yang kini merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia," kata biro tersebut.
Satu laporan bancian peringkat kebangsaan yang disiarkan pada April lalu menunjukkan lebih 221 juta orang penduduk China melakukan migrasi.
Satu laporan kerajaan yang dikeluarkan pada Oktober lalu pula menjangkakan lebih 100 juta petani akan berpindah ke bandar menjelang 2020, sekali gus memberi cabaran besar daripada segi perancangan bandar dan menjangkaui kemampuan sistem kebajikan sosial. - AFP

0 comments:

Post a Comment