20 January 2012

Penculik tuntut RM1.7 juta

Penculik tuntut RM1.7 juta
SHAH ALAM - Anak lelaki kepada seorang ahli perniagaan warga Pakistan yang baru tiga hari tiba di negara ini untuk memperbesarkan perniagaannya diculik sekumpulan lelaki di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Mangsa yang berumur 24 tahun, tiba di negara ini bersama bapa saudaranya, sebelum diculik dan disembunyikan di sebuah rumah oleh tiga lelaki, kira-kira jam 4.30 petang, pada 10 Januari lalu.

Penculiknya menghubungi keluarga mangsa yang ada di Pakistan dan meminta tebusan RM1.7 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, bertindak atas maklumat, satu pasukan khas menjejaki mangsa.

Beliau berkata, polis memberkas 10 lelaki, berumur antara 26 dan 41 tahun, dalam serbuan di Kajang, Banting dan Seremban, kelmarin.

“Mangsa diselamatkan di sebuah rumah di Kajang. Dia dalam keadaan sihat dan tidak dicederakan.

“Suspek adalah warga Pakistan yang sudah lama tinggal di negara ini. Wang tebusan diminta tidak diserahkan kepada suspek,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas sembilan telefon bimbit, 10 kad sim, lima pasport, wang tunai, kereta Proton Persona, motosikal Honda EX5 dan serangkai anak kunci.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berkemungkinan terlibat sindiket penculikan antarabangsa.

“Siasatan kita mendapati terdapat perhubungan telefon di antara suspek dan seseorang di Pakistan,” katanya.

Tun Hisan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan polis Pakistan bagi mengenal pasti individu lain dan membuat semakan rekod jenayah terhadap suspek.

Suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.

0 comments:

Post a Comment