29 January 2012

Pemeriksa nuklear IAEA tiba di Iran untuk mendapatkan penjelasan

TEHERAN 29 Jan. - Satu delegasi pemeriksa nuklear daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tiba di Iran, hari ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung aspek-aspek ketenteraan yang disyaki wujud dalam program nuklear Teheran.

Mereka tiba pada hari yang sama ahli Parlimen Iran dijadual meluluskan usul untuk mengharamkan eksport minyak ke Eropah sebagai membalas tindakan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baru ke atas negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah IAEA, Herman Nackaerts yang mengetuai delegasi itu berkata, beliau berharap untuk 'menyelesaikan segala isu yang belum beres dengan Iran' berhubung program nuklearnya yang didakwa oleh Barat bertujuan untuk membina senjata nuklear.

"Kami berharap Iran akan bekerjasama dengan kami berhubung kebimbangan kami mengenai dimensi ketenteraan yang mungkin wujud dalam program nuklear Iran," kata Nackaerts sebelum berlepas dari lapangan terbang Vienna, semalam.

Delegasi IAEA itu dijangka menghadapi tugas sukar, memandangkan Iran terus berpendirian bahawa haknya untuk membangunkan teknologi nuklear bagi kegunaan awam mesti diiktiraf oleh negara Barat yang skeptis.

Kuasa Barat mendakwa aktiviti pengayaan uranium yang dijalankan oleh Teheran, terutamanya sebahagian yang telah dipindahkan ke sebuah kubu bawah tanah kalis bom, sudah melebihi keperluan untuk menghasilkan tenaga atom.

Ketegangan antara Iran dan Barat meningkat bulan ini apabila Amerika Syarikat (AS) dan EU mengenakan sekatan paling ketat dalam kempen mereka untuk memaksa Teheran membuat konsesi.

Sekatan itu disasarkan terus ke atas keupayaan Iran, pengeksport minyak kedua terbesar dalam OPEC, untuk menjual minyak mentahnya.

Kurang seminggu selepas 27 negara anggota EU bersetuju untuk menghentikan import minyak mentah dari Iran mulai 1 Julai ini, ahli Parlimen Iran lewat hari ini dijadual membahaskan rang undang-undang yang akan menghentikan bekalan minyak ke EU dalam masa beberapa hari lagi.

Dengan menyekat terus eksport minyak ke EU, ahli Parlimen Iran percaya blok Eropah itu tidak lagi mendapat kesempatan selama enam bulan yang boleh digunakan oleh negara anggotanya yang paling banyak bergantung kepada minyak Iran untuk menyesuaikan diri tanpa bekalan minyak tersebut. - Reuters

0 comments:

Post a Comment