29 January 2012

Pemandu teksi cekik darah ditahan


SEBAHAGIAN pemandu teksi yang ditahan SPAD ketika operasi di Kuala Lumpur malam semalam.
KUALA LUMPUR - Seramai 12 pemandu teksi ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak menggunakan meter dalam satu operasi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di sini malam semalam.
Pengurus Besar Penguatkuasaan dan Latihan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, enam pemandu ditahan kerana menetapkan tambang sesuka hati, dua tidak menggunakan meter, dua kerana tiada dokumen pemandu dan dua lagi kerana mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.
"Kesemua mereka berumur 30 hingga 50 tahun itu ditahan selepas 30 penguat kuasa menyamar menjadi penumpang dengan menaiki teksi dari Terminal Tambang Murah sehingga ke KL Sentral," katanya selepas operasi selama tiga jam yang bermula pukul 8 malam itu.
Che Hasni berkata, pemandu yang tidak menggunakan meter akan didakwa di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jika sabit kesalahan akan didenda maksimum RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.
"Pemandu teksi yang mengenakan tambang lebih atau meletakkan harga sesuka hati pula akan disabit kesalahan di bawah Seksyen 75 akta yang sama dengan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

0 comments:

Post a Comment