15 January 2012

Pekerja kilang maut dirempuh

Pekerja kilang maut dirempuh
SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang maut dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer 15.2, Lebuhraya Persekutuan berhampiran Tol Batu Tiga, pagi semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, kejadian jam 7.45 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan terbabas merempuh besi pembahagi lebuh raya manakala sebuah lagi terbabas ke kiri lebuh raya.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang wanita warga Indonesia yang berada di laluan pejalan kaki dirempuh kenderaan yang terbabas ke kiri lebuh raya.

“Kenderaan terbabit kemudian melanggar paip Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan pencawang telekomunikasi sebelum terhumban ke dalam parit.

“Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat. Bagaimanapun pemandunya terselamat dan mendapat rawatan di pusat perubatan swasta berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, rempuhan kenderaan terbabit menyebabkan injap paip syarikat bekalan air berukuran 42 inci itu patah dan pecah.

Bagaimanapun katanya, tiada gangguan air berlaku kerana kakitangan Syabas segera mengalihkan air tersebut ke paip Syabas yang berukuran 49 inci.

0 comments:

Post a Comment