16 January 2012

Pekerja kilang maut digilis

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut digilis lori di Kilometer 1.8, Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), berhampiran Loji Percetakan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, di sini, semalam.
Suhaimi Zulkify, 34, mati di tempat kejadian selepas cedera parah akibat kemalangan itu.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki dari Sungai Buloh dan apabila sampai tempat kejadian tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dari arah belakang bergesel menyebabkan mangsa terjatuh di bawah lori itu.
“Dalam kemalangan jam 7 pagi itu, mangsa meninggal dunia selepas cedera parah hampir seluruh badan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kemalangan itu turut menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa selama beberapa jam kerana lokasi kejadian berhampiran jalan masuk Taman Industri Bukit Jelutong yang menempatkan pelbagai jenis kilang.

0 comments:

Post a Comment