25 January 2012

Pekerja kilang besi ditemui mati

pekerja-kilang-mati
KLANG – Pergaduhan disyaki punca seorang lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun ditemui mati di kabin kontena sebuah kilang besi di Batu 4 ¾, Jalan Kapar, semalam.

Mangsa, Nyo Chaw ditemui pengurus kilang berkenaan dalam keadaan berlumuran darah pada jam 9 pagi sebelum membuat laporan polis pada jam 9.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Shokor Sulong berkata, pengurus kilang itu menerima panggilan daripada salah seorang pekerja berhubung kejadian itu.

“Polis percaya lelaki itu mati 24 jam sebelum dijumpai dan mangsa dipukul di kepala,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menjumpai sebatang besi panjang dan sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kes itu.

Polis kini mengesan seorang lelaki warga Myanmar, San Win Maung, 26, bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan boleh hubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Inspektor Azizi di talian 019-3696085 atau balai polis berdekatan.

0 comments:

Post a Comment