17 January 2012

Pekerja binaan maut dihempap konkrit

buruh dihempap konkrit
BAYAN LEPAS - Seorang buruh binaan warga Indonesia terbunuh manakala seorang lagi rakannya cedera parah selepas dihempap bumbung konkrit ketika sedang menyiapkan pos kawalan keselamatan di sebuah tapak pembinaan di sini, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.45 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Mat Som, 37 dari Jawa, Indonesia maut di tempat kejadian selepas tersepit hampir 30 minit di bawah runtuhan bumbung itu sebelum anggota bomba tiba. 

Rakannya, Dany Setiawan, 25, juga dari Jawa, Indonesia dikejarkan ke Hospital Balik Pulau (HBP) selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan kedua-dua mangsa baru sahaja bekerja di tapak pembinaan iaitu seminggu lalu.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Ahmad berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang sibuk menyiapkan pos kawalan keselamatan di pintu masuk perumahan berkenaan.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas..ketika kejadian saya sedang melakukan kerja di kawasan berhampiran dan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat.

“Apabila saya  mendekati tempat kejadian, saya lihat banyak darah mangsa memancut keluar dan mayat mangsa juga terlipat di bawah runtuhan konkrit itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke HBP untuk bedah siasat.

0 comments:

Post a Comment