Maut
PUCHONG – Beberapa kes kematian yang pernah dilaporkan berlaku di Lebuhraya Bukit Jalil di sini sebelum ini tidak menjadi pengajaran apabila seorang lagi menjadi korban ketika cuba melintas lebuh raya itu, di kilometer 1.6 di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa warganegara Bangladesh yang masih tidak diketahui identitinya maut serta-merta selepas dirempuh dan diseret sebuah kenderaan sebelum tercampak di bahu jalan berdekatan simpang masuk ke Bandar Kinrara.
 
Jurucakap polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berkata, tindakan lelaki terbabit yang melintas lebuh raya mengundang padah apabila diseret beberapa meter sebelum tercampak di tepi pengadang besi lebuh raya.
 
“Mangsa ditemui mukanya tersembam oleh penunggang motor yang melalui jalan itu.
 
“Akibat kecederaan parah dan patah tangan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian,”katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-89422222 atau 016-9055595 untuk bantu siasatan.