18 January 2012

Pegawai polis dijel sehari

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan kerja pembaikan di stor bekalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Seksyen 15, di sini, tujuh tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Asisten Superintendan Samsudin Sirat, 56, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mengikut pertuduhan pertama, Samsudin didakwa menggunakan dokumen palsu Surat Sebutharga Deng Engineering & Trading bertarikh 7 Januari 2005.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Logistik Bekalan IPK Selangor, Seksyen 15, di sini, awal Februari 2005. Tertuduh didakwa atas pertuduhan kedua menggunakan dokumen palsu Invoice Deng Engineering & Trading No: 0222 sebagai tulen di tempat sama pada 14 Mac 2005.
Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Dia turut didakwa atas pertuduhan ketiga menggunakan dokumen Pesanan Kerajaan No Z 357830 dan Invois Deng Engineering & Trading No: 0222 bertarikh 14 Mac 2005 dengan niat memperdayakan Polis Diraja Malaysia. Ia mengandungi butiran palsu bahawa Deng Engineering & Trading sudah membuat kerja pembaikan di stor bekalan IPK Selangor sedangkan ia tidak dilaksanakan syarikat itu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Mat Ghani menjatuhkan penjara sehari dan denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama. Manakala, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik dengan jaminan RM10,000 tanpa cagaran.

0 comments:

Post a Comment