17 January 2012

Patuhi jadual

PETALING JAYA: Syarikat konsesi Lebuhraya Utara-Selatan, Plus Expressways Berhad (Plus) menjangkakan 1.4 juta kenderaan menggunakan lebuh raya itu sempena cuti Tahun Baru Cina minggu depan berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari biasa.
Pengarah Urusan Plus, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu menunjukkan kesesakan aliran trafik akan berlaku, namun pihaknya menasihatkan orang ramai mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan bagi melancarkan perjalanan mereka.

Menurutnya, pendekatan terbabit diharap dapat mengurangkan kesesakan melampau khususnya pada waktu kemuncak selain memastikan perjalanan orang ramai lancar, cekap dan selamat sampai ke destinasi. Noorizah berkata, pengawasan dan pemantauan lebih tertumpu kepada enam hari kemuncak dengan lebih 3,000 kakitangan ditugaskan bagi memudahkan segala urusan perjalanan di musim perayaan ini.
“Peningkatan jumlah kenderaan ini dapat dilihat bermula Jumaat hingga Ahad ini dan juga 24 hingga 29 Januari iaitu selepas perayaan berlangsung. “Sehubungan itu, kami menyeru orang ramai supaya mematuhi jadual waktu perjalanan yang sudah dirangka bagi memudah serta melancarkan perjalanan mereka,” katanya pada sidang media persediaan Plus bagi menghadapi pertambahan trafik menjelang perayaan itu, di sini, semalam.

Katanya, sepanjang tempoh itu, 550 anggota Rela bertugas membantu pengurusan trafik di plaza tol dan kawasan rehat selain turut dibantu 432 anggota daripada pasukan kecemasan termasuk bomba, polis serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 atau melayari laman twitter untuk mendapatkan maklumat terkini iaitu di www.twitter.com/plustrafik.

0 comments:

Post a Comment