15 January 2012

Pas mahu PSC semak skim SBPA

SHAH ALAM - Pas mahu kerajaan pusat mengadakan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi mengkaji semula sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ekoran keputusan Kabinet kelmarin memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaannya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu penting agar satu badan yang diberi kuasa penuh untuk melihat secara keseluruhan permasalahan yang timbul dalam isu tersebut.

"Kita mahu jawatankuasa ini meneliti dan menyusun semula struktur gaji kakitangan ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan SBPA akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim baru itu.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya.

Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

Sehubungan itu tambah Mahfuz, tangga gaji kakitangan awam ditentukan kumpulan Jusa dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) manakala Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula tidak mempunyai kuasa untuk mempertaikaikan keputusan yang dibuat agensi tersebut.

Oleh itu kata beliau, jika semakan semula hanya melibatkan perbincangan antara Cuepacs dan JPA, ia dikhuatiri tidak dapat menyelesaikan persoalan berbangkit secara keseluruhannya.

Mahfuz juga berkata, penangguhan itu sekali gus membenarkan dakwaan PAS sebelum ini bahawa ianya dibuat secara tergesa-gesa tanpa kakitangan awam diberi maklumat sebenar.

0 comments:

Post a Comment