20 January 2012

Palestin terus diiktiraf

Thailand negara ke-131 perakui kemerdekaan Palestin

NEW YORK: Thailand mengiktiraf negara merdeka Palestin semalam, langkah dipuji pemimpin Palestin yang semakin bersemangat meningkatkan imej di mata dunia di tengah kebuntuan proses damai dengan Israel. 

Thailand sudah memaklumkan semua misi tetap dan pemerhati ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York mengenai pengiktirafannya, kata pegawai akhbar misi Thailand. 

Di Ramallah, pegawai Kementerian Luar Palestin memberitahu Thailand mengiktiraf negara itu mengikut kawasan pentadbiran sebelum Perang Enam Hari pada 1967.

“Pengiktirafan Palestin sebagai negara oleh Thailand adalah yang pertama pada 2012 dan ia pencapaian baru bagi diplomat Palestin,” kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, kepada agensi berita WAFA.

Riyad berkata, pengumuman itu menjadikan 131 negara mengiktiraf negara merdeka Palestin.

Thailand mengiktiraf Israel pada 1954 dan mengekalkan hubungan mesra dengan wilayah Yahudi itu.
Thailand adalah destinasi utama pelancong Israel dan kedua-duanya bekerjasama dalam pertanian dan bidang lain.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dalam satu kenyataan berterima kasih di atas langkah itu dan berkata prosedur akan dimulakan untuk membina hubungan diplomatik.

“Abbas berterima kasih kepada Raja dan Kerajaan Thailand di atas pengiktirafan rasmi negara Palestin,” menurut kenyataan.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Thani Thongphakdi, berkata pengiktirafan itu dipertimbangkan untuk beberapa waktu.

“Kami anggap kini masa sesuai untuk memberi pengiktirafan negara merdeka Palestin, yang dilputuskan awal minggu ini,” katanya.

Dia berkata, langkah itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan baru-baru ini ke atas lelaki Lubnan dipercayai merancang serangan di Bangkok, yang dituduh mempunyai hubungan dengan pergerakan Hizbullah.

Suspek ditahan berdasarkan risikan yang diberikan Israel, menurut pegawai Thailand dan Amerika Syarikat serta rejim Zionis itu memberi amaran kepada rakyat masing-masing mengenai ancaman pengganas di Bangkok.

Palestin cuba mendapatkan pengiktirafan antarabangsa ketika rundingan dengan Israel masih tergantung berhubung isu pembinaan penempatan peneroka haram Yahudi.

Pada 2011, mereka diiktiraf beberapa negara selain memperoleh keanggotaan UNESCO.

Palestin turut membuat bidaan menyertai PBB sebagai anggota penuh tetapi Washington mengancam menggunakan kuasa veto dan menggesa rundingan diadakan, berkata cuma penyelesaian politik dengan Israel yang membolehkan negara merdeka Palestin wujud. – AFP

0 comments:

Post a Comment