20 January 2012

Pahang ambil kesempatan terajui tangga teratas Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Pahang memintas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menduduki persada Liga Perdana selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam ini.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh Mohd Hafiz Mohd Kamal pada minit ke-17 dan Hazwan Mohd Daud (min-46) manakala pemain import, Muhammad Lamin Conteh berjaya menyelamatkan maruah skuad Singa Utara dengan jaringan dua gol pada minit ke-90 dan seminit kemudian dalam masa kecederaan.

Bagaimanapun perlawanan antara Sime Darby dan ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terpaksa ditunda ke esok akibat hujan lebat ketika lewat babak pertama berlangsung.

Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut mencatat keputusan seri setelah terikat 2-2 kepada Pos Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua gol PDRM dijaringkan oleh Mohd Norzie Ibrahim pada minit ke-86 dan Khairul Izuan Abdullah (min-88), manakala gol Pos Malaysia pula disumbangkan oleh Mohd Hafizi Amiruddin (minit ke-50) dan G. Puaneswaran (minit ke-54).

Di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, pendatang baru musim ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkongsi satu mata dengan pasukan pelawat, Universiti Sains Malaysia (USM) FC setelah juga terikat seri 1-1.

Kedua-dua gol terhasil pada separuh masa kedua dengan pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Romhizat Jamian pada minit ke-57 sebelum gol penyamaan USM FC dijaringkan oleh S.Veeno (min-73).

Satu lagi pendatang baru, Negeri Sembilan Betaria pula tumpas 1-2 kepada Majlis Perbandaran (MP) Muar di Stadium Hang Tuah Melaka.

Dua gol MP Muar dijaringkan oleh R.Puganeswaran seawal minit ke-10 diikuti gol kedua oleh pemain import Hilary Odada (min-72), manakala gol saguhati Betaria disumbangkan oleh Mohd Fauzi Abdul Kadar (min-58).

Satu perlawanan yang berlangsung di Lembah Klang menyaksikan Harimau Muda B terikat 1-1 kepada Johor di Stadium Nasional, Bukit Jalil. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment