25 January 2012

Padah curi pandu kereta abang

Curi kereta
PETALING JAYA – Hasrat seorang remaja berusia 14 tahun mahu bersiar-siar menggunakan kereta Proton Perdana milik abangnya membawa padah apabila secara tiba-tiba stering kereta tersekat menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar sembilan motosikal di parkir Blok H, Apartment Idaman, semalam.

Kejadian jam 12 malam itu berlaku sebaik sistem keselamatan kereta berkenaan berfungsi selepas sepuluh minit ia dipandu. 
 
Ketua Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Azmi Ardi berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati remaja berkenaan memandu kereta itu tanpa pengetahuan abangnya.
 
“Dia mengambil kunci kereta sewaktunya abangnya sedang tidur,” katanya.
 
Pelanggaran itu turut menyebabkan tiga remaja lain yang kebetulan berada di kawasan parkir cedera.
 
Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, sementara remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Difahamkan, keluarga remaja berkenaan telah dipanggil dan bersetuju untuk menanggung kos perubatan mangsa yang cedera serta baik pulih motosikal yang rosak.
 
Sementara itu, pemilik kereta Proton Perdana memberitahu sistem keselamatan kenderaan itu digunakan bagi mengelak kecurian kereta, bagaimanapun sama sekali tidak menyangka adiknya sendiri yang terperangkap.

0 comments:

Post a Comment