20 January 2012

OIC bimbang kempen anti-Islam

JEDDAH 20 Jan. - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan retorik anti-Islam yang dibuat ketika kempen pilihan raya Parlimen dan Presiden yang sedang hangat berlangsung di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah.

“Situasi Islamofobia yang semakin meningkat dalam politik Barat kini amat membimbangkan OIC,” kata Setiausaha Agungnya, Ekmeleddin Ihsanoglu.

Parti-parti sayap kiri radikal kini semakin mengukuhkan kedudukan di Parlimen Austria, Bulgaria, Denmark, Hungary, Belanda, Sweden, Perancis dan Parlimen Eropah.

Kumpulan pelampau berhaluan kanan anti-Islam seperti Liga Pertahanan Inggeris (EDL) di Britain dan CasaPound di Itali juga semakin mendapat sokongan ramai.

Mereka semua berkongsi agenda anti-Islam yang mengancam masyarakat Islam daripada mengamalkan ajaran agama dan meningkatkan lagi kemungkinan diskriminasi.

AS juga tidak terkecuali menunjukkan tanda-tanda ‘permusuhan’ terhadap Islam dan penganutnya walaupun ia tidak terlalu ditonjolkan.

Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan oleh calon Presiden negara itu iaitu Rick Santorum, Mitt Romney dan Newt Gingrich yang percaya undang-undang Syariah merupakan satu ancaman besar kepada kebebasan hidup di AS, merisaukan penganut Islam.

Calon Presiden Rick Perry beberapa hari lalu berkata kepada Fox News bahawa Turki kini diperintah ‘pengganas Islam’ dan ia perlu disingkirkan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ihsanoglu berkata, bukan sahaja di AS, fenomena itu turut membimbangkan di Eropah apabila Islamofobia digunakan sebagai alat politik terutamanya untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Anggota Kongres di 15 buah negeri di AS juga pernah mengemukakan satu usul melarang hakim daerah mengguna pakai undang-undang Syariah dalam keputusan melibatkan kes perceraian serta masalah rumah tangga. – AGENSI

0 comments:

Post a Comment