26 January 2012

NGO Islam tuntut pesuruhjaya polis letak jawatan

NEW YORK: Kumpulan hak asasi awam Islam Amerika Syarikat menuntut peletakan jawatan Pesuruhjaya Polis New York Ray Kelly kelmarin berikutan kontroversi berhubung berulangnya tayangan video yang menghina umat Islam.

Kelly berkata beliau menyesal bekerjasama dengan pembuat video The Third Jihad: Radical Islam’s Vision for America, yang menunjukkan rakaman serangan bunuh diri dan mendakwa ‘agenda sebenar kebanyakan kepemimpinan Islam di Amerika’ ialah untuk ‘menyusup dan mendominasi Amerika.’ 

Kelly dikecam selepas laporan bahawa video itu ditayangkan berulang kali berbanding yang diakui. Apabila video itu kali pertama didedahkan setahun lalu, polis berkata ia hanya ditayangkan beberapa kali. 

Bagaimanapun, hakikatnya ia ditayangkan kepada lebih 1,400 pegawai dalam tempoh beberapa bulan, lapor akhbar New York Times Selasa lalu, berdasarkan dokumen diperoleh dalam satu permohonan Akta Kebebasan Maklumat.

Majlis Hubungan Islam Amerika (CAIR), sebuah organisasi kebebasan awam Islam terkenal, berkata Kelly gagal sebagai ketua pasukan polis terkenal dan terbesar negara itu.

“Sebagai pemimpin jabatan polis terbesar negara, tindakan Pesuruhjaya Kelly dan Timbalan Pesuruhjaya (Paul Browne) menetapkan pendirian perundangan yang memberi kesan kepada penduduk Islam Amerika di seluruh negara. Masanya sudah sampai untuk melakukan perubahan,” kata Pengarah Eksekutif Nasional CAIR, Nihad Awad dalam satu kenyataan.

CAIR dan kumpulan kebebasan awam lain mengadakan satu sidang media semalam di Dewan Bandar Raya New York. Kontroversi muncul ketika Kelly, yang rapat dengan Datuk Bandar Michael Bloomberg, sedang memulihkan hubungan tegang jabatan polis dengan minoriti penduduk Islam.

“Seseorang sudah melakukan tuduhan memudaratkan,” kata Bloomberg kepada media Selasa lalu, merujuk kepada filem itu.

The Third Jihad terus ditayangkan di televisyen sebuah balai polis Brooklyn sehingga ada pegawai menggunakannya untuk mengisi kertas kerja ketika masa senggang, kata jurucakap Kelly dan timbalannya, Paul Browne.

Sebagai tambahan, polis kini mengakui seorang jurucakap menguruskan satu sesi temu ramah pembuat filem bersama Kelly yang muncul dalam rakaman itu.

Sebelum itu, polis berkata Kelly tidak terbabit dalam pembuatan filem dan temuramah itu diambil daripada satu arkib. Browne berkata kelmarin pesuruhjaya mendapati hasil projek “tidak menyenangkan” dan menyesal mengambil bahagian. – Reuters

0 comments:

Post a Comment