25 January 2012

NFCorp dakwa ada ‘petualang’, Perkasa mahu polis siasat

NFC
KUALA LUMPUR – National Feedlot Corporation (NFCorp) kesal dengan bekas kakitangannya yang sanggup menjadi ‘petualang’ untuk memburukkan imej syarikat dan pada masa yang sama membongkar rahsia kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sehingga ia dijadikan modal politik.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail berkata, bekas pekerjanya itu telah memberi ‘pendrive’ yang mempunyai dokumen syarikat kepada parti Pakatan Rakyat (PR), yang membawa kepada siri pendedahan.
“Pekerja itu pernah memegang jawatan sebagai eksekutif pemasaran di syarikat ini dan memperoleh pendapatan melebihi RM100,000 sebulan dengan hanya mengaut komisen daripada menjual daging ke pasar raya terkemuka.

“Kami terpaksa memecat orang ini kerana telah menyeleweng harta syarikat bernilai RM2.7 juta. Selepas tidak berpuas hati, dia telah melaporkan kepada polis mengenai perkara ini dan saya tidak pasti dalam laporannya ada menyebut mengenai wang itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, bekas pekerjanya itu pada masa yang sama telah ‘mencuri’ maklumat asas syarikat dengan menyimpannya di dalam ‘pendrive’.

Beliau berkata, bekas pekerjanya itu tidak mempunyai dokumen lengkap untuk menerangkan hala tuju wang yang dibelanjakan, termasuklah penggunaan kad kredit dengan menyerahkannya kepada orang tertentu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mahu NFCorp membuat laporan polis supaya perkara ini disiasat dan mengambil tindakan ke atas ‘petualang’ yang menyalahgunakan wang syarikat dan mendedahkan kepada umum.

“Mereka perlu buat sesuatu supaya tindakan tertentu dapat diambil. Saya tidak menyokong mana-mana pihak, tetapi pihak yang melakukan kesalahan perlu dikenakan tindakan.

“Saya mahu pesalah (NFCorp atau bekas pekerja) perlu dihukum dan mereka yang menjadi mangsa penganiayaan perlu dibela,” katanya.

0 comments:

Post a Comment