Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah
KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM100 juta ke atas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung skandal projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Shahrizat dalam saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi memfitnah dan memburuk-buruk beliau.

Beliau diwakili peguam terkenal, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah menuntut RM50 juta untuk ganti rugi am dan RM50 juta ganti rugi teruk dan teladan.

Menurutnya, saman itu dikemukakan dengan asas, sia­satan diyakini membuktikan Shahrizat tidak bersalah.

Shafee berkata, anak guamnya masih lagi bercuti dan difahamkan, cuti diambil rela hati, tanpa paksaan mana-mana pihak bagi memudah­kan siasatan pihak berkuasa.

“Anak guam saya juga memohon perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan membuat kenyataan secara bertulis terhadapnya berkaitan NFC atau syarikat bersekutunya,” katanya.

Shafee tidak menolak kemungkinan pihaknya mengemukakan saman beberapa individu lagi berhubung isu ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dikatakan melakukan serangan fitnah di dalam artikel bertajuk Isu NFC akan tumbangkan BN - Wanita Keadilan dan NFC dapat kontrak kerana Shahrizat Menteri Umno - Zuraida.

Rafizi didakwa banyak mengeluarkan kenyataan akh­bar kepada media dan artikel berunsur fitnah dengan jelas dan tersirat di laman web www.rafiziramli.com dan www.keadilandaily.com.

Kedua-dua defendan ini dikata­kan secara konsisten melancarkan kempen memfitnah Shahrizat, sejak Novem­ber 2009 selaku Ketua Wanita Umno, menteri dan beliau sendiri sebagai individu.

Berdasarkan penya­taan tuntutan difailkan Tetuan Sha­fee & Co dinyatakan Shah­rizat sebagai plaintif tidak pernah memiliki ekuiti, mahupun memegang jawatan Pengarah di NFC, Agro-Science Industry Sdn Bhd atau mana-mana sya­rikat bersekutu.

NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Is­mail, manakala tiga anak beliau pemegang saham dan pengarah dalam syarikat Agro-Science Industry Sdn Bhd, syarikat induk yang memiliki ham­pir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham preference dipegang kerajaan Malaysia.

Pada 2006, Kementerian Pertahanan menganugerah­kan projek Fidlot Nasional kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd dan Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Lamberts Agriculture Trade Sdn Bhd menarik diri dan projek berkenaan hanya dianugerahkan kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd melalui NFC.

Keputusan atau isu peng­anugerahan projek ini tidak pernah dibawa ke Kabinet dan oleh itu Shahrizat tidak menyer­tai atau mempe­ngaruhi proses penganugerahan projek.