25 January 2012

Nelayan berdepan hukuman mati

Hukum mati
KOTA BHARU - Dua nelayan berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin ketika ditahan polis di sebuah hotel di Tanah Merah, 8 Januari lalu.

Mohd Hafiz Mamat, 31 dan Tuan Aziz Tuan Hitam, 49 didakwa dalam pertuduhan pertama mengedar dadah jenis heroin kira-kira 24 gram ketika ditahan di sebuah hotel di Jalan Jedok Tanah Merah pada jam 10.30 pagi tarikh berkenaan.
 
Kedua-dua tertuduh dari Chendering, Kuala Terengganu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori.
 
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 16.0 gram di tempat dan masa yang sama.
 
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(A)(1) akta sama. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun dan juga sebatan.
 
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof tidak menawarkan jaminan kepada mereka kerana kesalahan pertama itu memperuntukkan gantung mandatori.
 
Bagaimanapun, Mohd Hafiz dan Tuan Aziz tidak mengaku salah bagi pertuduhan kedua dan minta dibicarakan.
 
Majistret Muhamad Safuan Azahar kemudian menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan menawarkan jaminan masing-masing RM12,000 terhadap mereka bagi pertuduhan kedua.

0 comments:

Post a Comment