25 January 2012

Nano tidak dapat sambutan

NEW DELHI: Ketika syarikat Tata Motors dari India melancarkan kereta Nano pada 2009, konsep ‘kereta termurah di dunia’ yang diperkenal dalam satu daripada pasaran automobil yang kian berkembang di dunia dijangka mampu mencapai kejayaan. 

Secara logik, tiada kesilapan dalam strategi itu yang menawarkan penyelesaian terbaik kepada keluarga kelas rendah pertengahan yang ingin menaiktaraf kenderaan dua roda kepada empat.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun jualan mengecewakan, jelas kini harga kenderaan terbabit yang menjadi sasaran jualan utama, sebenarnya menyumbang kepada kegagalan itu.

Daripada membeli Nano, pengguna yang prihatin dengan status mereka menolak kenderaan ‘murah’ berharga AS$2,800 (RM8,694) itu dan memilih kenderaan lain berharga lebih mahal sedikit atau kenderaan terpakai dengan harga sama.

“Kereta Nano sering dianggap kenderaan orang miskin. Tiada siapa mahu memandunya,” kata Editor majalah India’s Motown, Punnoose Tharyan. Menurut Ketua Perniagaan Tata Motors, R Ramakrishnan, jualannya jauh daripada mencapai 25,000 unit sebulan dan kilang Nano yang mampu mengeluarkan kapasiti sebanyak 250,000 unit hanya menghasilkan 10,000 unit sebulan. Model asas dijual tanpa pendingin hawa yang menjadi kekurangan dalam cuaca panas menyengat di India berharga RM8,694.

Versi premium yang dilengkapi pendingin hawa, sistem kuncian pusat dan cermin tingkap automatik berharga 196,959 rupee (RM12,218). - AFP

0 comments:

Post a Comment