29 January 2012

Myanmar, Aung San Suu Kyi mula kempen tanding pilihan raya kecil


Aung San Suu Kyi berucap kepada penyokongnya dari atas sebuah kenderaan di Kampung Thauk Kya Pyin di Dawei, semalam. - REUTERS


DAWEI 29 Jan. - Beribu-ribu penyokong pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi berbaris di jalan-jalan utama hari ini bagi meraikan pemimpin itu yang memulakan kempennya untuk menyertai pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Kehadiran pemenang anugerah Nobel Keamaan ini merupakan perjalanan politik pertama beliau di luar Yangon sejak mengisytihar akan menyertai pilihan raya kecil itu yang dijadual diadakan pada 1 April ini.

"Jika kita berubah ke arah yang lebih baik, negara kita mempunyai banyak peluang. Kita sangat berharap untuk merampas kembali pentadbiran negara," kata beliau kepada penyokong yang memenuhi bahagian selatan bandar ini.

Keputusan Suu Kyi untuk cuba menduduki kerusi Parlimen di negara ini, merupakan petanda terbaru perubahan dramatik akan berlaku di negara ini, sekali gus menamatkan hampir setengah abad pemerintahan junta.

Kerajaan baru yang didominasi beberapa bekas jeneral mula mentadbir negara ini pada tahun lalu, susulan pilihan raya November 2010 yang dicemari dengan dakwaan penipuan dan juga tanpa penyertaan parti pimpinan Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD).

Pemerintahan rejim sejak itu memeranjatkan pemerhati melalui siri reformasi termasuk dialog dengan pembangkang, mengalu-alukan penyertaan kembali NLD ke politik arus perdana serta membebaskan beratus-ratus tahanan politik.

Barat kini mula melonggarkan sekatan ke atas Myanmar, menambahkan lagi harapan berakhirnya era kemiskinan dan terpinggir, namun kontroversi sekitar pilihan raya 2010 seakan-akan memberi makna pilihan raya kecil berikutnya perlu dipantau oleh komuniti antarabangsa.

NLD sedia untuk bertanding dengan kesemua 48 kerusi dan Suu Kyi akan bertanding di kawasan pedalaman berdekatan Yangon.

Lawatan sehari hari ini menandakan sokongan kepada calon parti, Aung Soe yang akan bertanding bagi kawasan tempatan.

"Kami sudah lama mahu Daw Suu (panggilan tanda hormat kepada Suu Kyi) berkempen di kawasan kami, dia (Suu Kyi) sudah 23 tahun tidak datang ke sini," katanya. - AFP

0 comments:

Post a Comment