15 January 2012

Mohamed batal niat tanding Presiden Mesir

KAHERAH: Bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang juga pemenang anugerah keamanan Nobel, Mohamed ElBaradei, mengumumkan tidak bertanding untuk jawatan presiden kerana mendakwa belum wujud demokrasi sebenar di Mesir.
“Naluri tidak membenarkan saya bertanding untuk jawatan presiden atau sebarang jawatan rasmi kecuali wujud demokrasi sebenar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Menurut Mohamed, tiada ruang untuknya dalam politik Mesir kerana simbol rejim lama masih menguasai negara itu, manakala perubahan perlembagaan “tidak sempurna.” “Saya meneliti cara terbaik untuk menyumbang khidmat kepada revolusi dan mendapati tiada jawatan rasmi yang bersesuaian, termasuk presiden.
“Persediaan untuk melantik presiden dibuat sebelum perlembagaan digubal bagi menguruskan hubungan di antara bidang perundangan, eksekutif dan legislatif yang menjamin keadilan,” katanya.

Walaupun memuji revolusi pemuda yang mengetuai kebangkitan rakyat Mesir menyingkirkan Hosni Mubarak tahun lalu, Mohamed berkata, rejim lama sebenarnya belum runtuh.

“Tiada keputusan diambil untuk membersihkan institusi negara, terutama media dan perundangan yang menjadi simbol rejim lama,” katanya. - AFP

0 comments:

Post a Comment