17 January 2012

Minda: Kaliber Romney saingi Obama

SELEPAS menang tipis di Iowa dua minggu lalu , Mitt Romney bangkit kembali dengan kemenangan yang meyakinkan dalam pilihan raya Republikan di New Hampshire, baru-baru ini.
Mitt Romney, seorang jutawan dan juga bekas Gabenor Massachussetts, menguasai 40 peratus undi dan disusuli ahli Kongres, Ron Paul dengan 23 peratus. Jon Huntsman, bekas Gabenor Utah, selepas memilih untuk tidak bertarung di Iowa dan mempertaruhkan kempennya di New Hampshire, cuma mampu menduduki di tempat ketiga dengan 17 peratus undi.
Bekas Speaker Newt Gingrich, yang sebulan lalu dianggap sebagai calon konservatif paling mampu mencabar Romney, kini kian kelam bintangnya apabila tumpas teruk di Iowa dan cuma menerima 10 peratus undi di New Hampshire manakala bekas senator dari Pennsylvania, Rick Santorum, sesudah tewas dengan hanya lapan undi di Iowa seminggu lalu, gagal menggerakkan momentum dan sekadar berakhir di tangga kelima dengan sembilan peratus.

Gabenor Texas Rick Perry langsung tidak berkempen di New Hampshire.

Kemenangan Romney di Iowa dan New Hampshire mengukuhkan statusnya sebagai calon Republikan paling utama.

Sejak struktur moden pemilihan calon presiden setiap parti bermula di 1976, calon yang memenangi Iowa atau New Hampshire akan akhirnya berjaya dinamakan pilihan parti untuk menjadi presiden.

Di dalam bancian CNN terkini, 62 peratus daripada pengundi New Hampshire memilih Romney kerana melihatnya sebagai calon paling mapan bagi menewaskan Presiden Obama pada pilihan raya nasional November nanti.

Isu kelesuan prestasi ekonomi dan kemelut defisit juga menjadi faktor condong undian terhadap Romney yang mempunyai pengalaman eksekutif dalam sektor swasta.
Walaupun Romney melangkah keluar daripada gelanggang New Hampshire, dengan bergaya, namun kelemahan kempennya masih nyata.

Tumpuan kini beralih pula ke undian di Carolina Selatan pada 21 Januari. Keputusan di Carolina Selatan nanti bakal menjanjikan sama ada pertarungan parti Republikan ini akan menjadi lebih kompetitif atau bahangnya jika Romney berterusan memberikan saingan sengit.

Senator John McCain, yang memenangi penamaan parti Republikan sebagai calon presiden empat tahun lalu, dan Gabenor Carolina Selatan, Nikki Haley sudah pun menyuarakan sokongan mereka kepada Romney.

Organisasi kempen Romney juga sudah lama berkampung di Carolina Selatan, meleburkan lebih AS$311,000 (RM964,000) untuk publisiti kempennya.
Apapun berbanding Iowa dan New Hampshire, suasana politik yang lebih konservatif dan ekonomi yang masih mundur di Carolina Selatan membuka ruang bagi lawan Romney untuk menyainginya.

Dalam pilihan raya 2008, 60 peratus daripada pengundi Republikan di Carolina Selatan menyifatkan diri mereka sebagai Kristian evangelis yang rata-ratanya berpegangan konservatif dalam isu sosial seperti pengguguran dan hak homoseksual iaitu di antara isu yang menghantui Romney yang pernah menjadi Gabenor Massachussetts.

Tahap pengangguran di Carolina Selatan juga masih tinggi di 9.9 peratus, berbanding 8.5 peratus kadar purata seluruh Amerika Syarikat pada Disember 2011.

Carolina Selatan adalah pangkalan Bain Capital LLC, firma ekuiti dan pelaburan swasta yang diasaskan oleh Romney yang dikritik kerana mengeksploitasikan syarikat tempatan dan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan demi mengaut keuntungan berjuta-juta untuk Romney dan firmanya.

Malah, kenyataan Romney baru-baru ini dalam debat di New Hampshire mengenai kecenderungannya memecat pekerja turut dikritik bahawa seorang jutawan seperti Romney tidak peka pada masalah rakyat biasa.

Isu sebegini adalah lontaran kian tajam daripada lawan Romney terhadapnya. Perang publisiti sudah bermula, termasuk di siaran TV Carolina Selatan dan perbelanjaan kempen di Carolina Selatan setakat ini sudah melangkaui AS$5 juta (RM15 juta), dari laporan Business Week berdasarkan data Campaign Media Analysis Group.

Jumlah ini tidak tidak merangkumi jangkaan perbelanjaan anggota Super Political Action committee (Super PAC).

Super PAC adalah pertubuhan bebas yang tidak berkait secara langsung dengan mana-mana kempen, namun boleh berkempen dengan meraih dan mencurah berjuta-juta dolar tanpa had sama ada untuk menyokong atau menentang sebarang calon.

Winning Our Future seumpamanya, sebuah super PAC yang menyokong Newt Gingrich, sudah merangka untuk membelanjakan AS$3.4 juta (RM10.54 juta) di Carolina Selatan, menurut laporan New York Times. Restore Our Future, antara super PAC yang pro-Romney, pula akan membiayai kempen melonjakkan pencalonan Romney di Carolina Selatan dengan AS$2.3 juta (RM7.13 juta).

Biarpun Mitt Romney paling terkehadapan, sokongan terhadapnya belum mantap. Pemecahan undi memberi peluang kepada Mitt Romney terus mendahului lawannya.

Paling pasti, belum ada lagi calon parti dalam sejarah politik Amerika yang berjaya menguasai ketiga-tiga pertandingan di Iowa, New Hampshire dan Carolina Selatan. Kemenangan di Carolina Selatan tentunya membawa Romney luncur berlayar lanjut ke pentas penamaan calon presiden di perhimpunan parti Republikan di Tampa, Florida , pada 27 Ogos nanti.

0 comments:

Post a Comment