15 January 2012

Militan al-Qaeda tawan bandar kecil di Yemen

SANAA 15 Jan. - Berpuluh-puluh militan al-Qaeda menawan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 170 kilometer dari ibu negara Yemen di sini semalam, kata sumber polis dan saksi.
Menurut sumber, anggota militan memasuki pekan Radda di wilayah al-Baydah pada malam semalam yang ditentang oleh sekumpulan kecil pasukan polis sebelum menawan sebuah kubu kota lama dan masjid.
Penawanan pekan itu meluaskan lagi penguasaan militan di luar wilayah selatan Abyan dengan beberapa pekan turut ditawan sejak kebangkitan rakyat menentang Presiden Ali Abdullah Salleh yang bermula awal tahun lalu sebelum krisis itu berakhir dengan perjanjian pemindahan kuasa pada November lalu.
Beberapa penduduk pekan Radda, yang mempunyai kira-kira 60,000 orang, berkata, kumpulan itu diketuai Tareq al-Dahab, militan yang disyaki diserahkan oleh Syria kepada Yemen baru-baru ini ketika cuba menyusup masuk ke Iraq.
Tareq merupakan abang ipar kepada seorang guru agama kelahiran Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan al-Qaeda yang terbunuh dalam serangan udara pada tahun lalu.
Timbalan Ketua Parti Sosialis Yemen, Yahia Abu Usba mendakwa pihak keselamatan tidak bersungguh-sungguh menentang kumpulan militan daripada memasuki Radda.
Beliau turut memberi amaran kumpulan al-Qaeda itu merancang untuk menyerang wilayah Maarib yang kaya dengan sumber minyak.
Namun tiada pegawai Yemen yang mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini berhubung kejadian tersebut.
Pengeksport minyak terbesar dunia, Arab Saudi dan AS menyatakan kebimbangan dengan penguasaan militan al-Qaeda yang semakin berkembang di Yemen yang berdekatan dengan laluan utama perkapalan minyak.
Pengkritik Saleh menuduh presiden itu yang masih mempunyai pengaruh dalam pasukan keselamatan, sengaja tidak mengambil endah terhadap kes itu, demi untuk menunjukkan pemerintahannya amat penting bagi mengusir al-Qaeda dari Yemen. - REUTERS

0 comments:

Post a Comment