25 January 2012

MB buat rombakan kecil, Khalid ketuai hal ehwal Islam

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat rombakan kecil ekoran pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali, hari ini.

Dr Ahmad Yunus, yang mengangkat sumpah pagi ini, akan mengetuai Jawatankuasa Adat-adat Melayu, Belia dan Sukan.

Perkara itu diumumkan oleh Khalid selepas upacara mengangkat sumpah yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor.

Beliau sebelum ini merupakan Pembantu Exco Belia dan Sukan.

Dengan rombakan kecil ini, Khalid mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam,  Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Hasan sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Khalid juga mengumumkan bahawa Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Abdul Rani Osman, yang sebelum ini disebut-sebut akan menggantikan Hasan, dilantik sebagai pengerusi skim kredit mikro Selangor (Skimsel) manakala Adun Bangi Dr Shafie Abu Bakar pula akan memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Adat Melayu (Padat).

Dr Shafie juga disebut-sebut sebagai antara calon yang dipertimbangkan bagi menggantikan Hasan.

Khalid berkata, pihaknya percaya pengalaman berkhidmat kepada rakyat sebagai doktor perubatan boleh membantu Dr Ahmad Yunus menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Negeri secara efisien dan profesional.

“Pelantikan ini turut melibatkan rombakan kecil dari segi portfolio di mana Dr Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Manakala Portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam kini dipegang Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Dr Abd Rani.

Menurutnya, rombakan tersebut berkuat kuasa serta-merta hari ini bagi memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar, tambahan pula Dr Ahmad Yunus sebelum ini pembantu Exco Belia dan Sukan.

Katanya, pemilihan Dr Ahmad Yunus sebagai Exco Kerajaan Negeri ialah pertimbangan yang dibuat melalui mesyuarat Pas Pusat dan dipersetujui beliau selaku Menteri Besar Selangor.

“Saya berpendapat Dr Ahmad Yunus mempunyai pengalaman dalam (soal) belia dan sukan, oleh sebab itu beliau boleh terus mengambil alih daripada saya dan boleh menjalankan tugas tersebut. Pertimbangan kita adalah atas dasar kerja," katanya.

Pada sidang media sama, Dr Ahmad Yunus berkata, tidak menjangka beliau akan dipilih menggantikan Hasan memandangkan Dr Abd Rani menjadi pilihan anggota Pas malah disebut-sebutkan sebagai pengganti Hasan sebelum ini.

“Saya pun baru dapat maklumat, terlalu awal untuk saya membuat komen tetapi daripada apa yang dimaklumkan Menteri Besar, portfolio saya belia dan sukan, sebelum ini saya sudah diamanahkan oleh Menteri Besar. Saya akan memastikan kesinambungan supaya berjalan lebih lancar," katanya.

0 comments:

Post a Comment